Islam
Jul 27, 2014, 5:00pm

Sunnah Nabi Menyambut Hari Raya Aidilfitri


  •  
  •  
  •  
  •  

Sunnah Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W Menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Raya al-Fitr adalah termasuk antara hari kebesaran yang disyariatkan bagi umat Islam, ia berlaku pada 1 Syawal setiap tahun selepas tamatnya puasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Kaum muslimin menyambut hari ini dengan penuh riang, gembira kerana telah berjaya melalui bulan Ramadhan dengan sempurna.

Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri termasuk dalam ibadah, dan sebagaimana ibadah-ibadah lainnya, umat Islam disyariatkan melaksanakannya berdasarkan petunjuk dan sunnah Nabi SAW, kerana ibadah yang tidak menepati sunnah adalah ibadah yang tertolak. InshaAllah semoga sama-sama amalkan Persiapan Hari Raya Aidilfitri mengikut Sunnah Nabi.

Persiapan Hari Raya Aidilfitri

1. Mandi di Pagi Aidilfitri

Disyariatkan bagi kaum muslimin untuk mandi pada pagi Aidilfitri berdasarkan athar dari `Umar bahawa beliau mandi sebelum keluar untuk bersolat Aidilfitri [HR. Malik dengan isnad Sahih].

niat mandi aidilfitri

Sumber gambar shafiqolbu.files.wordpress.com/

2. Memperindah diri di pagi Aidilfitri

Kaum muslimin juga dianjurkan agar memakai pakaian yang terbaik dimilikinya untuk pergi ke solat Aidilfitri, dengan itu Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitabnya al-Jami’ al-Sahih –  Bab kedua hari raya dan memperindah diri padanya”.

Memperindah disini bukanlah bermaksud memakai pakaian baru sebagaimana yang difahami sesetengah orang, namun ia bermaksud memakai pakaian yang terbaik yang telah sedia dimiliki, berwangian bagi lelaki dan lain-lain.

3. Takbir Aidilfitri

Disyariatkan juga untuk bertakbir pada hari Raya bermula dari masuknya malam Aidilfitri selepas terbenam matahari, dan berhenti apabila solat Aidilfitri dilaksanakan.

Perlu diingat bahawa laungan takbir ini dilakukan dengan penuh semangat, dengan nada suara yang kuat serta lantang kerana ia bertujuan membesarkan Allah SWT, bukannya dengan nada sayu dan sedih sebagaimana yang biasa dilakukan sesetengah kaum.

4. Makan sebelum keluar bersolat Aidilfitri

Disyariatkan juga sebelum keluar ke solat Aidilfitri agar terlebih dahulu makan sebagaimana kata al-Bukhari dalam Jami’nya al-Sahih. Dan makanan yang terbaik ialah tamar, bahkan disunnahkan memakan tamar dengan bilangan yang ganjil, ini sebagaimana yang thabit dari Baginda SAW dalam hadith yang Sahih, antaranya kata Anas:

Maksudnya: “Pada hari raya Rasulullah SAW tidak keluar untuk melaksanakan solat Aidilfitri hinggalah beliau makan beberapa biji tamar terlebih dahulu”. [HR. al-Bukhari, no.961], dan dalam riwayat lain menyebut:

“dan Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil” [HR. al-Bukhari, no. 961].

5. Berjalan kaki ke tempat solat Aidilfitri

Disyariatkan juga agar keluar ke tempat solat Aidilfitri dengan berjalan kaki sekiranya mampu, jika tidak mampu maka tiada halangan untuk menaiki kenderaan.

Disunnahkan agar bertakbir secara kuat sejak keluar rumah dan juga sepanjang berjalan kaki atau menaiki kenderaan, hinggalah solat Aidilfitri. Sesetengah manusia keluar rumah tanpa melaungkan takbir, mereka berjalan secara diam dan hanya mula bertakbir apabila telah sampai di tempat solat Aidilfitri, amalan ini bercanggah dengan sunnah.

6. Pulang dari solat Aidilfitri jalan berbeza

Disyariatkan agar seseorang itu pulang susudah mengerjakan solat Aidilfitri dengan mengikuti jalan yang berbeza dari jalan yang digunakan untuk datang menghadiri solat. Ini sebagaimana yang thabit dari Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir katanya

“Adalah Nabi SAW jika bersolat Aidilfitri, Baginda mengambil jalan yang berbeza antara pergi dan pulang” [HR. al-Bukhari, no. 994].

7. Ucapan tahniah pada hari Aidilfitri

Dianjurkan untuk mengucapkan tahniah selamat hari Raya pada hari Aidilfitri, namun ia bukanlah satu kemestian. Kata al-Hafiz al-Muhaddith `Abdul `Aziz Marzuq al-Tharifi :

Maksudnya: “Mengucap tahniah Aidilfitri dengan ucapan : (Taqabbalallah hu minna wa minka) tidaklah jelas bahawa Sahabat dan Tabi’in mengamalkannya secara konsisten, kerana itu berkata Imam Malik: “aku tidak mengetahuinya tetapi aku tidak mengingkarinya”, walhal Imam Malik ialah imam yang paling dekat pengetahuan berkenaan hal keadaan mereka (para Salafussoleh)”

Hari Raya Aidilfitri Ucapan

Dan kata al-Tharifi lagi:

Maksudnya: “Ucapan tahniah Aidilfitri boleh dilakukan dengan apa juga cara sebutan yang baik maknanya, tidak thabit dalam hadith (yang marfu’) akan cara sebutan tertentu, yang paling kuat hanya ucapan tahniah sesama sahabat, mereka berkata: Taqabbalallah hu minna wa minka atau  taqabbalallahu minna wa minkum, baik isnadnya mengikut Imam Ahmad”.

Dengan itu boleh seseorang itu mengucapkan sebarang cara sebutan tahniah yang baik, semisal “Selamat Hari Raya”, “Happy `Eid”, “Kullu `Aam wa Entum Bi Khair”, “Minal `Eidin wal Faizin”, “Kullu Sanah wa Entum Tayyib” dan sebagainya. Kesemuanya boleh, tiada masalah.

8. Bergembira pada hari Aidilfitri

Begitu juga dianjurkan dalam hadith-hadith Sahih untuk bergembira pada hari Aidilfitri, sama ada dengan menyanyi atau bermain-main di paginya. Hari raya atau `Eid al-Fitr adalah hari bergembira dan bukannya bersedih.

9. Meminta maaf di pagi Aidilfitri

Meminta maaf itu adalah sejurus selepas menyedari akan kesilapan yang dilakukan, bukannya khusus di pagi hari Aidilfitri. Sedang hari Aidilfitri itu hari mengucapkan tahniah dan doa agar amalan meminta maaf di pagi Aidilfitri yang diaamalkan sesetengah kaum, kerana itu adalah adat mereka dan ia bukanlah satu kemestian.

10. Menziarahi Kubur di pagi Aidilfitri

Tidak disyariatkan untuk menziarahi kubur pada pagi Aidilfitri, bahkan mengkhususkan amalan menziarahi kubur pada pagi Aidilfitri adalah bid’ah, tiada khilaf padanya.

 Sumber : Ringkasan Sifat Puasa, Qiam, Iktikaf & Raya Nabi SAW

ProfHariz : InshaAllah Semoga Allah Redha dan jangan lupa Persediaan Menyambut Aidilfitri juga boleh dijadikkan rujukan. Selamat Hari Raya semua sahabat. Moga Allah terima semua amalan kita sepanjang ramadan ini.