Sejak kebelakangan ini nama agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN ) semakin gah diperkatakan di sana sini. Ada yang memberi reaksi positif dan tidak kurang juga yang memberi reaksi negatif. Tidak kisahlah apa saja reaksi yang terpaksa di terima namun LHDN terus hangat membara menjalankan tugas mereka dalam mengutip cukai untuk negara tercinta.
Namun, terdetik juga di hati golongan manakah sebenarnya yang benar-benar layak untuk menerima panggilan bayaran cukai oleh pihak LHDN ini? Apakah dari golongan para peniaga, pekerja golongan atasan dan sebagainya dengan gaji yang agak tinggi menggunung ataupun sesiapa saja akan diberikan surat panggilan.
Persoalan ini sememangnya telah lama ada di dalam fikiran dan akhir-akhir ini soalan tentang golongan manakah sebenarnya yang patut membayar cukai ini semakin berlegar di fikiran tatkala terbaca satu demi satu kisah luahan daripada para pengendali blog dan laman web yang turut terpaksa menerima surat daripada LHDN ini.
Sebagai salah seorang warga Malaysia, sememangnya kita semua sudah sedia faham apakah sebenarnya tugas LHDN ini. Bohonglah jika sama sekali tidak kenal dengan nama LHDN ini. Makin bohong jika sama sekali tidak pernah tahu akan tugas LHDN tersebut. Namun tidak dinafikan masih ramai yang belum tahu apakah ciri-ciri utama seseorang yang patut untuk membayar cukai melalui LHDN. Sebenarnya bermula tahun 2015, individu yang mempunyai pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 setahun (selepas potongan KWSP) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.
Kerana itulah juga, dunia platform Facebook tiba-tiba menjadi semakin hangat dan panas tatkala ramai blogger Malaysia menaikkan status hairan bercampur pelik bila terpaksa menerima surat daripada pihak LHDN meskipun hakikatnya pendapatan mereka tidaklah di tahap yang tinggi. Adakah ini bermakna yang LHDN semakin mengganas untuk teruskan misi mengutip cukai tanpa terlebih dulu mengambil tahu tentang diri si individu yang ingin diberikan surat tersebut?
Seorang demi seorang blogger Malaysia terpaksa menerima surat daripada LHDN. Bila ini berlaku pastinya para penulis blog ini berasa pelik mengapa mesti mereka menerima surat daripada LHDN secara bersama dalam jangka masa yang sangat rapat. Apakah ada maksud terselindung di sebalik kejadian ini?
Sebenarnya kisah begini sudah lama. Tidak dinafikan ramai pengendali blog dan laman web serta usahawan internet yang seakan mahu lari daripada membayar cukai pendapatan dengan menganggap yang mana pendapatan melalui internet tidak perlu di cukai. Namun haikatnya golongan ini tidak terkecuali kerana kerajaan mula menekankan industri ICT negara sehinggakan golongan yang menjana duit melalui internet tidak terlepas sama sekali daripada membayar cukai.
Meskipun agak kurang senang setelah menerima surat daripada LHDN ini, para blogger tetap akur untuk memberikan kerjasama. Walau agak rumit namun pihak blogger tetap tidak gentar! Dan jika kebetulan anda juga turut menerima surat LHDN ini, jangan cemas dan jangan terlalu cepat berasa emosi. Menerima surat tersebut tidak bermakna secara automatik anda perlu membayar cukai hingga membebankan diri sendiri.
LHDN ada ciri-ciri dan syarat-syarat yang perlu diikutinya. Jika ditakdirkan pendapatan anda tidak di tahap layak untuk membayar cukai maka segalanya akan kembali seperti sediakala tanpa perlu anda membayarnya. Apa yang perlu anda lakukan adalah membacanya dengan teliti kemudian menghubungi wakil untuk pihak yang berkaitan. Setelah itu anda bolehlah bertanyakan apakah langkah seterusnya yang perlu anda ambil.
Benar! Jangan gentar jika terpaksa menerima surat daripada LHDN ini. Yang penting anda wajib faham yang LHDN ini bukanlah seorang musuh yang perlu diperangi. Jika kebetulan anda di tahap yang layak maka bayarlah mengikut tahap yang telah ditetapkan. Dan jika anda masih lagi di tahap yang tidak perlu membayar cukai maka anda pastinya tidak akan diminta oleh LHDN untuk berbuat begitu.
Cuma, tidak dinafikan apabila pihak LHDN menghantar surat dalam kuantiti yang banyak untuk sesuatu komuniti sebegini, ianya akan mula menimbulkan salah faham dan rata-rata akan mula memikirkan samada LHDN ini benar-benar menjalankan tugas terhadap golongan yang layak untuk membayar cukai, ataupun dengan mudah menghantar surat kepada sesiapa saja berpandukan detail yang diberikan oleh mana-mana pihak tanpa ada usaha untuk mengenali individu yang bakal menerima surat itu terlebih dahulu.
Tidak kiralah samada anda seorang pengendali blog dan website mahupun tidak, jangan gentar dan risau kerana hakikatnya hanya golongan yang berkemampuan dan layak saja yang perlu menjelaskan cukai ini mengikut tahap yang telah ditetapkan. Jika anda tidak punya pendapatan pada tahap yang telah ditetapkan maka anda tidak akan ada sebab untuk membayarnya.
Klik pada mana-mana pautan di bawah untuk info lanjut:
ProfHariz
No.1 Modern Muslim's Lifestyle Website in Malaysia
Beli Sekarang