Umum
Jul 6, 2020, 4:00pm

Cara – Cara Penanaman Nanas Dan Pemilihan Baja Yang Betul


Nanas berasal dari keluarga Bromeliaceae dan tergolong dalam kalangan tumbuhan CAM (Crassulation Acid Metabolism Plants).  Tumbuhan CAM menjadi sangat istimewa kerana kebolehannya  untuk meminimakan kadar fotorespirasi dan secara tidak lansung dapat menjimatkan penggunaan air dalam pokok. Tumbuhan ini berupaya untuk bertahan dalam persekitaran kering contohnya kaktus, aloe vera dll.  Nanas juga kaya dengan bromelain, yang terbukti secara saintifik mempunyai khasiat yang tinggi kepada kesihatan manusia.

Nanas merupakan tanaman yang bernilai tinggi dan mempunyai potensi yang besar dari sudut kesihatan dan juga pasaran buah-buahan global. Nanas yang berkualiti dan mempunyai nilai eksport boleh menjana pendapatan yang lumayan seperti nanas MD2 yang telah berjaya menembusi pasaran timur tengah. Nanas MD2 mendapat permintaan yang tinggi sehingga menyebabkan bekalan domestik tidak mencukupi. Nanas yang berkualiti tinggi hanya mampu dihasilkan dengan menggunakan amalan agronomi yang betul. Kami kongsikan di sini kaedah penanaman nanas secara terperinci untuk rujukan anda semua.

Pemilihan kawasan  

Kawasan yang dipilih sebaiknya ialah kawasan yang rata dan kurang bercerun. Semua tanah sesuai untuk penanaman nanas namun begitu tanah yang terbaik ialah tanah mineral dan gambut. Bagi sesetengah kawasan, nanas ditanam menggunakan tanah yang bermasalah seperti di tanah BRIS (seperti di Kelantan). Kawasan juga sebaiknya jauh dari ancaman perosak kritikal seperti babi dan monyet.

Penyediaan Kawasan

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah penyediaan tanah. Kawasan perlu dibersihkan menggunakan jentera seperti jentolak dll. Kos pula bergantung kepada jenis jentera, lokaliti, keluasan ladang, bentuk muka bumi dan tempoh masa penggunaan. Sebagai contoh kadar sewa jentolak (backhoe) di sekitar negeri Kelantan ialah RM450/hari manakala bulldozer pula sekitar RM900/hari. Kadar ini berbeza mengikut negeri. Bentuk muka bumi juga memberi implikasi kepada kewangan. Apabila kawasan penanaman mempunyai cerun atau bukit, kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa tambahan berbanding di kawasan yang mempunyai permukaan landai.

Bagi tanah mineral, tanah perlulah dibajak dan dibina batas menggunakan jentera. Ketinggian batas yang disyorkan ialah 1 kaki. Bagi tanah gambut pula, kebiasaannya tidak perlu dibajak. Sebaliknya boleh ditanam terus tanpa perlu digembur tanah. Tanah yang gembur akan mempermudah urusan penanaman dan membolehkan pokok nanas tumbuh dengan cepat dan sihat.

Longkang/parit hendaklah dibina di sekeliling ladang untuk melancarkan sistem saliran. Ladang yang tidak mempunyai longkang berisiko berlaku larian air (water run-off) dan hakisan tanah apabila berlaku hujan lebat. Sistem longkang juga akan menggalakkan pengudaraan dalam tanah di ladang nanas dan seterusnya menggalakkan aktiviti kitaran biologi di dalam tanah.

Pagar juga perlu dibina bagi mengawal serangan perosak seperti babi dan perosak-perosak lain. Babi merupakan ancaman terbesar bagi kawasan ladang yang baru dibuka terutamanya di kawasan hutan atau pedalaman. Terdapat pelbagai jenis pagar seperti pagar zink, pagar kawat duri dan pagar elektrik. Semua ini bergantung kepada bajet dan kemampuan ekonomi masing-masing. Namun begitu anda disyorkan menggunakan pagar elektrik pada kadar renjatan yang sederhana dengan tujuan memberi amaran kepada perosak tersebut. Kos membina pagar eletrik bergantung kepada keluasan ladang dan bahan yang digunakan. Untuk keluasan 6 ekar, kos membina pagar elektrik memakan kos sekitar RM4000-RM6000 bergantung kepada jenis wayar yang digunakan. Aluminium alloy wire adalah lebih berkualiti dan tahan lasak berbanding poly wire, namun begitu harganya sedikit mahal. Tenaga eletrik pula boleh dijana daripada panel solar. Jadi anda tidak perlu risau jika tempat anda berada jauh dari sumber bekalan tenaga TNB.

Penyediaan Tanah

Tanah perlu dibajak terlebih dahulu sebelum aktiviti penanaman boleh dilakukan. Terdapat beberapa jenis bajak yang digunakan iaitu bajak piring dan bajak putar (rotor). Bajak piring digunakan untuk memotong, mengangkat, memecahkan, menterbalikkan tanah dan membersihkan rumpai-rumpai sedia ada. Bajak putar (rotor) pula digunakan untuk menghancurkan partikel tanah kepada saiz yang lebih halus. Kesannya ialah tanah akan menjadi lebih gembur dan sesuai untuk penanaman nanas.

Pada kebiasaannya petani akan menyewa jentera membajak. Jadi anda tidak perlu membeli jentera traktor anda sendiri. Kadar sewa biasanya dikira mengikut jumlah jam. Harga sewa sekitar RM150-300/jam. Untuk keluasan satu ekar akan mengambil masa sekitar 2-3 jam untuk disiapkan dan bergantung kepada kecekapan pemandu jentera, spesifikasi jentera dan faktor bentuk muka bumi. Kos terselindung ialah kos membawa jentera ke ladang anda. Untuk membawa masuk traktor/jentera ke ladang yang jauh di kawasan pedalaman, anda perlu menyewa lori loader untuk mengangkut jentera membajak tersebut. Kos sewa juga berbeza mengikut jarak. Kebiasaannya sekitar RM500-600.

Setelah pembajakan selesai, batas akan ditutup menggunakan sungkupan plastik (silvershine). Silvershine digunakan untuk mengawal rumpai yang akan memberi persaingan kepada pokok nanas untuk membesar. Silverhine di pasaran mempunyai pelbagai saiz dan varieti. Saiz yang disyorkan ialah 4 kaki lebar.  Sifir mudah bagi penggunaan silvershine ialah 6-8 gulung per ekar. Harga pula berlegar-legar sekitar RM60-90/gulung, bergantung kepada lebar, panjang dan ketebalan.

Penyediaan Bahan Tanaman

Benih Jambul Nanas

Benih sulur udara

 

Bahan tanaman yang boleh digunakan ialah sulur angin/udara, sulur tangkai, sulur tanah dan jambul. Kebiasaannya petani akan menggunakan sulur udara, sulur tangkai dan sulur tanah. Kesemua bahan tanaman ini perlu digred dan dirawat terlebih dahulu sebelum ditanam. Bahan tanaman akan dicelup dengan racun kulat (Benomyl) dan serangga (Malathion). Bahan tananam yang baru dikutip perlu dijemur dengan cara diterbalikkan posisinya (pucuk di bawah dan pangkal di atas). Saiz bahan tanaman digredkan mengikut panjang sulur. Kebiasaannya gred A berukuran 2 kaki keatas manakala gred B 1-2 kaki panjang. Kos bahan tanaman adalah berbeza mengikut varieti sebagai contoh sulur nanas MD2 berharga sekitar RM2.00-RM2.50/unit.

Penanaman

Amalan penanaman di Malaysia masih lagi menggunakan kaedah teknologi tradisional iaitu dengan menggunakan kaedah menugal. Tidak dinafikan terdapat jentera khas yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan, namun tidak komersilkan dan tidak mendapat sambutan kerana kurang pratikal untuk digunakan di kawasan pertanian yang kecil.

Kepadatan tanaman bergantung kepada jarak tanaman. Secara mudah, semakin kecil jarak tanaman semakin tinggi kepadatan tanaman. Setiap jarak tanaman yang dipilih mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Jarak tanaman yang rapat, membolehkan banyak pokok ditanam dan menyukarkan rumpai untuk tumbuh. Tapi kesannya ialah buah yang dipetik berkemungkinan mempunyai saiz yang kurang besar. Sebaliknya jarak tanaman yang kurang rapat, akan membolehkan pokok menghasilkan pokok yang besar, buah yang besar, tapi rumpai akan senang tumbuh di celah-celah pokok nanas. Cabaran utama dalam penanaman nanas ialah rumpai. Nanas merupakan pokok CAM. Hal ini menyebabkan pertumbuhannya sangat lambat berbanding rumpai. Kesannya rumpai akan tumbuh lebih cepat berbanding pokok nanas. Kerja merumpai akan menjadi rumit dan penggunaan racun rumpai juga meningkat. Susulan itu kos buruh dan kos input racun juga meningkat.

 

Pembajaan

 

 

Pembajaan nanas dilakukan secara berkala sepanjang tempoh penanaman. Baja diberikan dalam bentuk butiran (granule) dan juga cecair. Pembajaan menggunakan baja butir (granule) dilakukan menggunakan teknik top/side dressing. Manakan baja cecair dilakukan secara semburan foliar ke permukaan daun dengan menggunakan pam mekanikal ataupun waterjet.

 

Kawalan Rumpai

 

Rumpai merupakan salah satu masalah utama di ladang nanas. Hal ini kerana pertumbuhan rumpai adalah lebih cepat berbanding nanas. Kesannya pertumbuhan pokok nanas akan terbantut kerana gagal bersaing dengan rumpai untuk mendapatkan cahaya matahari, nutrien, ruang, dan air. Kawalan rumpai dilaksanakan menggunakan kaedah manual, mekanikal dan kimia. Untuk rumput yang degil seperti rumput sambau, kaedah manual boleh digunakan dengan mencabut menggunakan tangan. Bagi kaedah mekanikal pula, tajak atau keri boleh digunakan. Namun begitu peralatan ini susah untuk dijumpai pada hari ini. Bagi kaedah kimia, racun rumpai (herbicide) digunakan.

Racun sentuh (AI paraquat) atau serap (contoh: AI glyphosate) digunakan bagi mengawal percambahan rumpai di peringkat sebelum menanam. Meracun rumpai perlu dilakukan sebelum kerja menanam bagi memastikan kawasan benar-benar bersih dari rumpai. Racun pra-cambah (contoh: AI ametryn) pula digunakan untuk mengawal percambahan rumpai selepas menanam. Rumpai yang kerap dijumpai di ladang nanas ialah pokok kapal terbang, rumput kerbau, rumput badi burung, rumput pait, rumput sambau, rumput tahi ayam, rumput tahi kerbau, rumput mesir dll.

Kawalan Perosak & Penyakit

 

Pembungaan aruhan

 

Pembungaan aruhan dilakukan bagi membolehkan pembungaan yang sekata dan mempermudahkan urusan penuaian hasil. Lazimnya pokok yang sihat dan subur akan diransang pembungaannya setelah mencapai 35-40 helai daun segar (berumur 8 bulan ke atas) dan selepas 4 minggu pembajaan tabur terakhir dilakukan. Pokok akan berbunga dalam masa 4 minggu dengan kemunculan pucuk bewarna merah di bahagian tengah pokok.

 

Penuaian

Nanas boleh dituai setelah 140-160 hari pembungaan aruhan dilakukan, bergantung kepada varieti. Alat yang diperlukan ialah parang & bakul. Penuaian biasanya dilakukan pada sebelah pagi. Buah nanas biasanya dipetik bersama dengan tangkai dan jambulnya.  Kebiasaannya nanas akan dipetik pada indeks kematangan tertentu bergantung kepada destinasi dan pasaran buah tersebut.

Pasaran

Nanas mempunyai pasaran yang luas baik domestik dan eksport, bergantung kepada varieti nanas. Sebagai contoh nanas MD2 mendapat permintaan yang sangat tinggi dari timur tengah. Manakala varieti nanas tempatan yang lain pula memenuhi permintaan pasaran tempatan seperti  nanas Sarawak, nanas Yankee, nanas Morris dan nanas Josapine. Dalam erti kata lain, pasaran bukanlah masalah dalam industri nanas. Permintaan dari dalam dalam dan luar negara berterusan dan konsisten sepanjang tahun. Buah nanas juga boleh digunakan untuk kegunaan  industri hiliran untuk menghasilkan produk-produk makanan seperti tat nanas, jus nanas, buah potong, cip nanas, sos nanas, topping pizza, pajeri nanas, jem nanas, bahulu, cordial nanas, dll.

Kesimpulan

Nanas merupakan tanaman yang menguntungkan dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi jika diusahakan secara komersil. Musuh utama seperti babi dan monyet perlu dipandang serius untuk mengelakkan sebarang kerugian. Kepada yang ingin membuka ladang nanas di luar sana, pastikan anda bersedia dari sudut kewangan, teknikal dan mental. Secara atas kertas projek tanaman nanas ternyata menguntung, namun begitu ada halangan dan cabaran yang bakal menyusul. Selamat berjaya.

 

Kepada yang ingin mendapatkan bekalan bahan tanaman nanas (sulur nanas) boleh menghubungi kami di Massaco Pineapple Farm, Tanah Merah Kelantan.

Boleh follow kami di

Instagram: Massaco Pineapple Farm

Hubungi: Tekan untuk Telefon (0132817323) | Tekan untuk WhatsApp

Jom dapatkan sulur nanas di sini

Klik pada mana-mana pautan di bawah untuk info lanjut:

ProfHariz

No.1 Modern Muslim's Lifestyle Website in Malaysia

Beli Sekarang
Waze / Google Map

Massaco Pineapple Farm, Tanah Merah Kelantan

   
Jom dapatkan sulur nanas di sini

Klik pada mana-mana pautan di bawah untuk info lanjut:

Call Whatsapp Layari Website

Jom dapatkan sulur nanas di sini

Klik pada mana-mana pautan di bawah untuk info lanjut: